Kisah Saidina Umar ra. yang paling menyayat hati

Berikut ialah sebuah kisah yang menyayat hati yang

menimpa keluarga Khalifah Saidina Umar ra. yang

dipetik daripada laman web Jabatan Mufti Negara Brunei

Darus Salam. Semoga ianya dapat menginsafkan kita

semua.

KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH

Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan

ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah.

Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan

dan hormat kepadanya.

Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak

laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar.

Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.

Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu

penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun.

Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit

tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan

tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu

Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu

menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah

perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang

juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan

kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan

Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.

Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi

pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang

perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu

mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila

perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk

melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan

mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak

berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah

dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.

Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah

sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu

pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu

‘Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi

mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya.

Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu

itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana

engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk

memeliharanya daripada aku.”

Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa

terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: “Anak

damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang

bernama Abu Syahamah.”

Sayyidina Umar bertanya: “Dengan jalan halal atau

haram?”

Perempuan itu dengan berani menjawab: “Ya Amirul

Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya,

daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak

Abu Syahamah, anak ini haram.”

Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham

maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh

perempuan ini berterus terang.

Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar

peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan

anak itu.

Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu

sehingga menitiskan air mata.

Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: “Wahai perempuan

jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi

orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya

supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan

sebenar-benarnya dan seadil-adilnya.”

Perempuan itu menjawab: “Ya Amirul Mukminin,

penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi

Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku

sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur’an.”

Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur’an dan

perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah

al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas

lagi: “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini

adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah.”

Kemudian Sayyidina Umar berkata: “Wahai jariyah! Demi

Allah engkau telah berkata benar.” Kemudian beliau

berpaling kepada para sahabat, katanya “Wahai sekalian

sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di

sini sehingga aku kembali.”

Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil

membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan

malang itu: “Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak

tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan

halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini

dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu

berhadapan dengan Allah nanti.” Perempuan itu pun

mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina

Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.

Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata

kepada sahabat-sahabatnya: “Wahai sekalian sahabat

Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku

kembali.”

Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu

Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan

makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata:

“Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita

makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir

bekalanmu untuk kehidupan dunia.”

Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut

seraya berkata, “Wahai ayahku, siapakah yang

memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku

untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus

setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi

Wasallam.”

Kata Sayyidina Umar: “Wahai anakku, berkata benarlah

sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat

dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas

Penglihatannya.” Sambung Sayyidina Umar lagi: “Masih

ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu

majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah

memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk?

Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi

perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan

seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah

anakku, kalau tidak engkau akan binasa.”

Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan

perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan

beliau membuat pengakuan: “Memang benar aku lakukan

hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku

itu.”

Sayyidina Umar menegaskan: “Tiada guna bagimu menyesal

setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau

adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang

berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi

engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”

Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah

lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian

lama menunggu.

“Mengapa ayahanda melakukan ini?” Tanya Abu Syahamah.

“Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia

supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat

kelak,” jawab Sayyidina Umar dengan tegas.

Abu Syahamah dengan cemas merayu: “Wahai ayahandaku,

aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu

di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”

Jawab Sayyidina Umar: “Engkau telah membuat malu

dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik

ayahmu.”

Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun

bertanya: “Siapakah di belakangmu wahai Amirul

Mukminin?” Jawab Sayyidina Umar: “Wahai sahabatku,

sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri

dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah

perempuan yang menyampaikan khabar tadi.”

Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya

(hambanya): “Wahai Muflih, pukullah anakku Abu

Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit,

jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan

kerana Allah.”

Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana

khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada

Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila

diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul

Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu

Syahamah dalam kesakitan: “Wahai ayahandaku, rasanya

seperti api yang menyala pada jasadku.”

Jawab Sayyidina Umar: “Wahai anakku, jasad ayahmu ini

terasa lebih panas dari jasadmu.”

Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul

sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah:

“Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat

mengambil sedikit kesenangan.”

Jawab sayyidina Umar: “Seandainya ahli neraka dapat

menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan

kepadamu kesenangan.”

Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu

Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah

merayu: “Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan

nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat

bertaubat.”

Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: “Wahai anakandaku,

apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau

hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau

hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan

engkau akan dipukul seumpama ini lagi.”

Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu

Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.

Abu Syahamah terus merayu: “Wahai ayahandaku, dengan

nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum

seteguk air.”

Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: “Wahai

anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air

untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air

minum.”

Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta

Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu

Syahamah mohon dia dikasihani: “Wahai ayahandaku,

dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku.”

Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: “Wahai

anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka

engkau tidak akan dikasihani di akhirat.”

Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih

memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu

Syahamah dengan nada yang lemah berkata: “Wahai

ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan

aku begini sebelum aku mati?”

Sayyidina Umar menjawab: “Wahai anakandaku, aku akan

hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika

engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti.”

Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi

sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu

Syahamah berkata; “Wahai ayahandaku, rasanya seperti

sudah sampai ajalku…..”

Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: “Wahai

anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu

‘Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan

bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati.”

Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus

menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali

rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang

semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para

hadirin: “Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa

kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan

aku saja?”

Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri

Sayyidina Umar dan berkatas: “Wahai Amirul Mukminin,

hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah

dia.”

Sayyidina Umar dengan tegas berkata: “Wahai sekalian

sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat

Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya:

“Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya

dalam menjalankan hukum Allah.”

Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat

Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu

Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh

sebatan lagi.

Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan

mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat

sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi

sehingga hari kiamat.

Kemudian berkata Sayyidina Umar: “Wahai Muflih,

pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah.” Muflih

pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.

“Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu,” perintah

Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak

lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan:

“Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu

Syahamah telah pergi menemui Allah.” Mendengar

pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid

sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka

sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat

peristiwa tersebut.

Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin

al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat

berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan

oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar

Radhiallah ‘Anhu.

Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada

malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu ‘Anhuma bermimpi

bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu ‘Alaihi Wasallam

yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian

putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda

dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah

Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata: “Wahai anak bapa

saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu

kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap

kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah

dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah

menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa

bilik di dalam Jannatun Na’im. Bahawa sesungguhnya Abu

Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang

benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: